Sunday 21 July 2013

Ya Allah, Aku Rindu

Assalammualaikum


Dia tidak arif dalam berbicara soal cinta. Dia hanya tahu menghuraikan maksud di jiwa. 
Jari-jemarinya sering menari mengikut rentak di hati bagi berkongsi apa yang dia rasa pada saat dan ketika ini. 
RINDU. Itu apa yang dia rasakan sekarang. Rindu pada siapa? Hatinya tidak mampu menjawab. 
Dia rindukan Tuhannya. Dia rindukan Rasulnya tapi pada masa yang sama ada rindu pada insan bertamu di hatinya. Berkali-kali dia cuba menepis perasaan yang tidak halal baginya itu.

Namun, rindu itu terus-terusan bergayut di hatinya. Dia seringkali menangis. Ya, menangis lantaran terlalu berduka kerana tidak mampu menangkis rasa rindu yang bergayutan di hatinya. Dia takut. Takut dan bimbang rasa rindunya itu membawa dia ke lembah hina. Dia bimbang rindunya itu membawa kepada zina hati. Allahurabbi. Berkali-kali dia cuba beristighfar. Beristighfar bagi menolak segala rasa yang bermain di hati dan akalnya. Dia tidak mahu merindui sesuatu yang bukan hak miliknya. Dia hanya inginkan rindu itu tersalur pada yang halal baginya. Ya, hanya pada bakal zauj yang Allah sudah tetapkan bagi dirinya.

Namun, setiap kali dia cuba mengusir, tiap kali juga rasa itu hadir membelenggu hati dan fikirannya. Buntu dirinya. Dia takut untuk mengasihi. Takut cintanya terhadap Rabbnya tergganggu. Apa yang dia boleh lakukan sekarang adalah terus-terusan berdoa memohon kekuatan dan agar dirinya diampuni Sang Ilahi. Dia tidak betah untuk terus hidup dalam fantasi. Untuk terus hidup dalam cinta duniawi. Untuk terus lemas dalam cinta manusiawi yang tidak hakiki dan akan mati suatu hari nanti. Dia tahu dan dia sedar, sejauh mana pun dia menjauhi dia tidak akan mungkin dapat lari dari fitrah insani. Untuk mencintai dan dicintai. Tapi, sebelum waktu itu benar-benar tiba dan diredhai Ilahi, dia cuba. Cuba untuk mengimbangi dan memahami yang mana fantasi yang mana realiti.

Dia perlu bangkit. Bangkit dan terus mencari cinta Ilahi. Bukan terus-terusan mendambakan cinta insani.
Ibu ayahnya mengharapkan dia menjadi serikandi dalam agama-NYA. Ibu ayahnya mengharapkan dia menjadi seorang insan yang memberi manfaat kepada manusia lain. Ibu ayahnya mengharapkan dia berjaya dalam hidupnya. Ibu ayahnya mengharapkan agar dia bisa menjadi seorang puteri yang solehah dan seorang kakak yang memberi inspirasi.

Dia sedar dan dia tahu tanggungjawabnya begitu besar. Tanggungjawabnya sebagai hamba Ilahi. Tanggungjawabnya sebagai pengikut Muhammad Rasulullah. Tanggungjawabnya terhadap agama-NYA. Tanggungjwabnya terhadap kedua-dua orang tuanya. Tanggungjawabnya terhadap keluarganya. Tanggungjawabnya terhadap ilmu. Tanggungjawabnya terhadap dirinya. Dan tanggungjawab dirinya terhadap masyarakat. Dia tahu. Dia sedar. Dia juga tahu 'si dia' juga begitu. Malah tanggungjawab 'si dia' lebih berat darinya. Masakan dia mahu mengganggu hati dan perasaan 'si dia' walhal dia tahu, mereka berdua tahu perjalanan hidup mereka masih jauh. Masih banyak yang belum dicapai dan digapai.

Allahurabbi. Dia berasa bersalah. Dia hanya mampu mendoakan yang terbaik. Kini dia sedar, cinta bukan segala-galanya. Cinta itu memang perlu, tetapi dia harus tahu cinta mana yang perlu mampir dahulu.
Untuk soal 'rindu', dia hanya mampu membisu. Dan dia hanya mampu mengungkapkan dan meluahkan rasa rindu yang mampir itu hanya kepada Allah. Dia tidak mampu untuk mengusirnya. Dia hanya mengharapkan Sang Ilahi membantu dan memelihara rasa rindu yang bertamu di hatinya. 
Pergilah wahai rindu. Usah bebankan diriku lagi. Aku takut rinduku terhadap si dia melebihi rinduku pada-NYA. 
Ya Allah, berikanlah kekuatan. Seandainya Engkau menghadirkan rasa rindu, rindukanlah diriku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu.

Sekian.

2 comments:

Honey Adele said...

insyaAllah ameen :)

Rindu itu adalah anugerah dari Allah..

Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan dan juga kebahgiaan~~

Nurul Farihin said...

sakitkan tapi tak boleh lari kerana fitrah manusia itu sendiri